fbpx

Purata 500 gempa bumi berlaku di Indonesia dalam sebulan – Jokowi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOKOWI memaklumkan bahawa Indonesia adalah negara yang sering dilanda bencana alam. – Merdeka.com

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan bahawa Indonesia adalah negara yang sering dilanda bencana alam se­perti banjir, letusan gunung berapi dan gempa bumi, lapor laman berita Merdeka.com kelmarin.

Katanya, sejak awal Januari hingga 23 Mei lalu, sebanyak 1,613 bencana melanda negara itu.

“Secara purata, 500 gempa bumi berskala kecil dan besar berlaku dalam tempoh sebulan,” katanya semasa perasmian The 7th Global Platform for Disaster Risk Reduction (GPDRR) 2022 di Pusat Konvensyen Nusa Dua Bali (BNDCC) di Bali kelmarin.

Jelas beliau, Indonesia kali terakhir digegarkan gempa bumi yang disertai tsunami pada 2018. Kawasan yang terjejas ketika itu adalah Palu dengan 2,113 kematian direkodkan.

Indonesia juga ­mempunyai 139 gunung berapi aktif yang me­ngancam kehidupan ­rakyatnya. 

“Sepanjang 2015 hingga 2021, sebanyak 121 letusan gunung berapi direkodkan di Indonesia termasuk ancaman kebakaran hutan dan tanah,” tambah Jokowi.

Kebakaran hutan dan tanah paling besar yang pernah berlaku di Indonesia adalah dari tahun 1997 hingga 1998. Insiden itu memusnahkan lebih 10 juta hektar tanah yang terbakar di Indonesia.

Jokowi berkata, pemerintah telah melakukan pelbagai usaha untuk menyekat kebakaran hutan dan tanah. Pada tahun 2021, Indonesia berjaya memulihkan 3.4 juta hektar tanah gambut.

“Indonesia juga berjaya mengurangkan kebakaran hutan daripada 2.6 juta hektar kepada hanya 358,000 hektar pada 2021,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI