NEW DELHI – Seorang bapa kepada lima anak dilaporkan tergamak membelah perut isterinya yang sarat hamil semata-mata ingin mengetahui jantina bayi dalam kandungannya.
Ibu bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kekejaman menantu mereka yang dikenali sebagai Panalal dalam kejadian baru-baru ini di kampung Nekpur, negeri Uttar Pradesh di utara India.
Mangsa kini kritikal dan dirawat di sebuah hospital tempatan.
Polis berkata, Panalal tertekan kerana sudah memiliki lima anak perempuan dan dia amat begitu menginginkan cahaya mata lelaki sebagai pewarisnya.
Kata polis, suspek ditahan sejurus laporan dibuat dan motif kes masih dalam siasatan.
“Belum ada pengesahan tentang jenis senjata tajam yang digunakan suspek untuk membelah perut isterinya yang hamil tujuh bulan pada waktu kejadian.
“Mangsa dirawat di hospital berdekatan dan berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami kecederaan yang serius,” kata Supritendan Pravin Singh Chauhan dari balai polis Uttar Pradesh kepada media tempatan.
Menurutnya, kes seperti itu kerap berlaku di India yang mana masyarakatnya menganggap anak perempuan sebagai membebankan dan lebih menghargai anak lelaki. – Agensi