fbpx

Malaysian Tigers terus mengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIE (kiri) berjaya menjaringkan tiga gol menerusi pukulan sudut penalti ketika menewaskan Bangladesh 8-1 di Stadium GBK hari ini. - MHC / KURNIAWAN SUMIARTA

PETALING JAYA – Seperti diramal, skuad hoki lelaki negara tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip kemenangan ketiga berturut-turut pada aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Asia 2022.

Kualiti yang dimiliki barisan pemain negara sememangnya dalam kelas berbeza apabila berpesta gol membelasah Bangladesh 8-1 di Stadium GBK, Jakarta, Indonesia hari ini.

Menariknya, dua tonggak skuad kebangsaaan, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Faizal Saari masing-masing berjaya merakam nama sebagai peledak hatrik dalam perlawanan tersebut.

Tiga gol pukulan sudut penalti daripada Razie pada minit keenam, 14 dan 30 menyaksikan pakar flick skuad negara itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol.

FAIZAL (tengah) sudah mengumpul empat jaringan peribadi sepanjang tiga aksi Piala Asia 2022 termasuk tiga gol ke atas Bangladesh hari ini. – MHC / KURNIAWAN SUMIARTA

Hatrik daripada Faizal pula menjadikan penyerang itu ketika ini sudah meledak empat gol peribadi selepas meledak tiga yang kesemuanya menerusi jaringan padang pada minit ke-24, 31 dan 46.

Dua lagi gol skuad negara kendalian Arul Selvaraj dalam aksi itu diperoleh menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-41 serta 60.

Bangladesh pula yang turut dikendalikan oleh pengendali dari Malaysia, Iman Gobinathan meraih jaringan sagu hati dalam aksi itu melalui Ashraful Islam pada minit ke-21.

Kemenangan itu mengesahkan Malaysian Tigers sebagai juara Kumpulan B mara ke peringkat ‘Super 4’ dalam misi mencari tiket ke Piala Dunia 2023 di India awal tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI