fbpx

Harumanis Kedah kini dikenali Harumanis D’Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi mendengar penerangan mengenai mempelam harumanis D'Aman di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Yan, hari ini.

YAN – Mempelam harumanis keluaran negeri ini kini dijenamakan semula sebagai Harumanis D’Aman sebagai usaha untuk menambah nilai komersial seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah menjenamakan buah itu selari dengan Pelan Pembangunan Pertanian Negeri Kedah 2021-2025 yang turut memfokuskan kepada program pembangunan harumanis di negeri ini.

Katanya, di Kedah terdapat beberapa kawasan yang telah dikenal pasti cukup sesuai untuk ditanam dengan harumanis antaranya di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Tanaman harumanis di negeri ini adalah seluas 98.7 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 65 metrik tan melibatkan seramai 213 petani.

“Keluasan tanaman dijangka meningkat kepada seluas 200 hektar yang mana Jabatan Pertanian negeri menyasarkan jumlah pengeluaran dapat ditingkatkan sehingga 600 metrik tan semusim menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penjenamaan semula mempelam tersebut di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Yan, dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin serta Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Ramli Abdul Rahman.

Mengulas lanjut katanya, jumlah pengeluaraan Harumanis D’Aman sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Kualitinya bagi saya cukup baik malah permintaannya juga amat tinggi dan kita akan meluaskan kawasan tanaman bagi membolehkan lebih ramai petani mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, Harumanis D’Aman akan diangkat sebagai ikon kepada negeri ini pada masa akan datang.

“Nama Harumanis Kedah tidak boleh digunakan kerana negeri Perlis telah mendaftar jenama Harumanis Perlis dalam Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyebabkan nama negeri lain tidak boleh lagi digunakan pada buah tersebut.

“Sehubungan itu Jabatan Pertanian Kedah mencadangkan supaya penjenamaan semula dibuat agar buah itu diberi nama baharu bercirikan identiti negeri menerusi satu pertandingan yang diadakan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI