KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan video kes tetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai merupakan video lama yang ditularkan semula.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihak polis telah terkesan satu klip video berdurasi 24 saat di laman Facebook dimuat naik oleh pemilik akaun Joran Caster semalam yang memaparkan kejadian tetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai.
“Hasil semakan mendapati, kejadian sebenar berlaku pada tahun 2018 di Jalan Alam Damai, Cheras, dekat sini.
“Kes berkenaan telah disiasat di bawah Seksyen 160/324/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek seorang lelaki tempatan telah ditangkap bersabit kes berkenaan dan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, tindakan menularkan kembali video lama menerusi media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengundang pelbagai persepsi dan reaksi daripada netizen.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar serta video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Kita juga berharap orang ramai dapat memeriksa kesahihan gambar atau video yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE