fbpx

Negara Asia perlu perkasa ekonomi, kukuh kerjasama – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut di Tokyo hari ini.

TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan bahawa terdapat tiga perkara utama yang membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian ketika ini.

Menurut beliau, perkara tersebut adalah memperkasakan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan serta bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Jelasnya, beliau percaya ia adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia.

“Perkara utama dalam memperkasakan integrasi ekonomi serantau adalah menumpukan kepada usaha mengukuhkah kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.

“Transformasi ekonomi Asia sejak lebih dua dekad lalu telah menyaksikan rantau ini menjadi pemain utama dalam ekonomi global.

“Keberhasilan ini dapat dilihat daripada peningkatan usaha kerajaan dan sektor swasta untuk mengukuhkan integrasi ekonomi rantau ini dalam aliran dagangan dunia, pelaburan, bakat dan teknologi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Hotel Imperial di sini.

Ismail Sabri berkata, berikutan itu, bagi tempoh di antara 2000 hingga 2017, penguasaan Asia dalam keluaran dalam negara kasar dunia, dari segi kesetaraan kuasa beli, meningkat daripada 32 peratus kepada 42 peratus.

Katanya, keadaan itu ternyata berbeza dengan Eropah yang menyaksikan berlaku penurunan daripada 26 peratus kepada 22 peratus, manakala Amerika Utara daripada 25 peratus kepada 18 peratus dalam tempoh sama.

“Ini menunjukkan Asia berada dalam kedudukan penting dalam landskap perdagangan dunia untuk menentukan fasa globalisasi berikutnya,” kata beliau.

Perkara teras yang kedua, menurut beliau, menjurus kepada kepentingan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan apabila Asia bertindak melakarkan strateginya dalam dunia penuh persaingan dan berbelah pendirian.

“Di tengah-tengah perbezaan yang berlaku di dunia ini, saya berpendapat adalah sangat penting rantau ini menjadikan kerjasama dan perundingan serantau sebagai nilai dan prinsip asas mereka.

“Berlakunya pandemik di seluruh dunia mengingatkan kita bagaimana institusi negara dan serantau begitu juga struktur dan rekaaannya yang disangkakan kuat dan kental sebenarnya adalah rapuh jika prinsip dan nilai gagal dipatuhi,” katanya.

Perkara teras yang ketiga, katanya, merupakan gesaan kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

“Asia, terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Pada 2021, lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik.

“Keadaan ini dijangka bertambah buruk seiringan dengan masa. Menjelang 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau, sekali gus akan menyebabkan berlaku kemusnahan yang dahsyat kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI