PUTRAJAYA – Hasil siasatan insiden dua tren transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya pada 24 Mei tahun lalu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media hari ini.
Ka Siong berkata, laporan siasatan itu sudah diserahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada AGC bulan lalu.
Menurutnya, susulan insiden yang mencederakan lapan penumpang itu, pengendali LRT iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail sudah melakukan 23 inisiatif penambahbaikan membabitkan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Tujuh inisiatif jangka panjang sedang giat dilaksanakan dan ia mengikut jadual yang ditetapkan. Prasarana dan Rapid Rail juga menambah tiga lagi langkah penambahbaikan bagi menyokong 23 insiatif berkenaan.
“Ia termasuk pemasangan kamera litar tertutup di dalam Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan menaik taraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya,” katanya.
Katanya, inisiatif penambahbaikan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM450 juta selain RM800 juta lagi bagi kos pembaikan dan baik pulih (MRO) serta gantian tren baru bagi laluan Kelana Jaya.
Ka Siong berkata, daripada RM450 juta dana itu, 80 peratus atau RM350 juta diperuntuk kepada sistem pengesanan tren elektronik ‘time-out’ bagi memudahkan pengesanan tren. – KOSMO! ONLINE