MUAR – Keputusan permohonan semakan kehakiman pihak pendakwaan terhadap perintah pelepasan bukan pembebasan kes peras ugut melibatkan warga Rohingya, Long Tiger akan diketahui pada 1 Jun ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.
Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, Muhammad Qaiyyum Ramlan dan Nor Syamilah Jalaluddin, manakala Long Tiger diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Azfar Azmi.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid yang tidak hadir ke mahkamah atas faktor keselamatan kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak bagi kes di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh.
Ia berikutan keputusan Majistret, Zaridah Abdul Jaapar pagi tadi yang menolak permohonan peguam untuk turut melepaskan tanpa membebaskan Long Tiger bagi pertuduhan di bawah seksyen berkenaan.
Permohonan dibuat pembelaan itu susulan kematian saksi pendakwaan utama yang sama seperti kes di bawah Seksyen 388 yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 23 Mac lalu di Tangkak.
Long Tiger juga masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama kerana merogol di Mahkamah Muar.
Pada 17 Mei lalu, Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Long Tiger yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Zaridah menetapkan perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada pertengahan perbicaraan.
Pada 20 Januari lalu pula, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah itu kira-kira pukul 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.-KOSMO! ONLINE