JOHOR BAHRU – Pusat bandaraya Johor Bahru ‘lumpuh’ seketika apabila beberapa jalan utamanya dinaiki air sehingga menutup laluan ekoran hujan lebat sejak pukul 2.30 petang, tadi.
Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati antara laluan yang dinaiki air termasuklah Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tebrau, Jalan Serampang, Jalan Bakar Batu dan juga Jalan Pasir Pelangi yang menempatkan Istana Pasir Pelangi.
Banjir kilat yang berlaku itu dipercayai terjadi kira-kira 15 minit selepas bandar raya ini ditimpa hujan lebat.
Seorang penunggang motosikal, Nik Nazirul Nik Mazlan, 28, memberitahu, dia terpaksa berteduh dibawah jejantas bukan kerana hujan lebat tetapi kerana jalan raya dinaiki air.
“Cuaca hujan saya sudah biasa, pakaian hujan juga sudah disediakan kerana sejak beberapa hari lalu Johor Bahru memang hujan lebat khususnya di sebelah petang.
“Namun apabila laluan dinaiki air, saya memilih untuk berteduh dibawah jejantas sedia ada sebelum memulakan kembali perjalanan ke tempat kerjanya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.
Sementara itu, seorang pemandu kereta, Siti Zulaikha Mat Zain, 33, pula memberitahu, dia terpaksa memberhentikan kenderaannya di tepi jalan selama kira-kira 10 minit selepas Jalan Tebrau dinaiki air.
“Saya tidak berani untuk meredah air berkenaan kerana saya pakai kereta kecil sahaja, jadi saya memilih untuk berhenti di tepi jalan terlebih dahulu.
“Hanya kira-kira selepas 10 minit dan apabila melihat banyak kenderaan lain meredah laluan berkenaan baharu saya turut berbuat demikian,” katanya yang memandu Perodua Viva.
Siti Zulaikha turut berharap pihak berwajib khususnya Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Pihak berkuasa perlu bersedia dengan kemungkinan banjir kilat berlaku ekoran perubahan cuaca, apatah lagi kawasan ini merupakan sebuah bandar raya besar.
“Jadi saya amat berharap agar tindakan pantas dapat diambil,” tambah ibu kepada dua orang anak itu.-KOSMO! ONLINE