fbpx

Penunggang motosikal maut dirempuh lori selepas tercampak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lokasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan awal pagi tadi.

KAJANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori dalam insiden kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa terlebih dahulu melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan petrol.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan raya lalu dirempuh lori berkenaan.

“Penunggang motosikal jenis Honda Wave itu dalam perjalanan dari Seremban ke tempat kerja di Seri Kembangan telah melanggar belakang kereta jenis Proton Iswara yang berhenti di lorong kecemasan akibat kehabisan minyak.

“Lelaki terbabit kemudian tercampak di sebelah kanan jalan sebelum dilanggar sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zaid berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun itu maut di lokasi kejadian dan siasatan berhubung kemalangan tersebut sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu/ berbahaya dan menyebabkan kematian,” jelasnya.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Somasureshan Munusamy di talian 016-4915193. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI