PETALING JAYA – Tular di media sosial gambar Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di ibu negara ditenggelami banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.
Dalam gambar pertama dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial kelihatan pekarangan luar masjid tersebut sedang dinaiki air dari sungai berhampiran.
Bagaimanapun, gambar kedua dimuat naik oleh pengguna media sosial yang sama 10 minit kemudian menunjukkan masjid berkenaan hampir tenggelam sepenuhnya
“Keadaan terkini, 10 minit beza,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai menitipkan doa kepada penduduk di sekitar ibu kota agar berada dalam keadaan yang selamat ketika ini.
“Semoga keadaan hujan lebat ini tidak mengakibatkan keadaan yang lebih serius buat penduduk Kuala Lumpur. Kasihan baru sahaja kena banjir teruk beberapa bulan lepas. Teruskan berdoa buat saudara kita semua,” ciap seorang pengguna.
“Hujan-hujan macam ini kena selalu beringat. Buat persediaan apa yang patut. Pelbagai kemungkinan bencana boleh berlaku tiba-tiba semoga semuanya selamat,” pesan pengguna lain. – KOSMO! ONLINE