GUA MUSANG – Seorang pelajar terpaksa melupakan hasrat untuk ke sekolah buat seketika selepas dia perlu fokus menjaga ibunya yang sakit tenat sejak tiga bulan lalu akibat menghidap penyakit radang sendi atau systemic lupus erythematosus (SLE).
Ain Nayuni Azian, 16, yang juga pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra di sini berkata, ketika ini, dia hanya mahu sentiasa berada di sisi ibunya, Norli Mohd. Adnan, 37, yang disahkan mengidap penyakit itu sejak 12 tahun lalu.
Katanya, keadaan ibunya kini semakin tenat dan akan dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut tidak lama lagi.
“Saya sendiri secara sukarela ingin menjaga ibu yang kini terlantar sakit di hospital. Ibu memerlukan perhatian setiap masa terutama untuk menukar lampin pakai buangnya dan memberikan susu khas.
“Ayah saya, Azian Rozi, 42, yang berkerja sebagai buruh kampung pula perlu mencari rezeki untuk keluarga dan membeli barang keperluan ibu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Gua Musang di sini semalam.
Ain Nayuni memberitahu, ibunya juga bergantung kepada susu yang diberikan melalui tiub selain perlu menukar lampin pakai buang sebanyak empat kali sehari.
“Setiap bulan, ibu perlukan empat atau lima tin susu khas, lebih tiga beg lampin pakai buang dan tisu basah yang digunakan untuk membersih badannya.
“Kesemua keperluan itu memerlukan kos sebanyak RM500 sebulan. Perbelanjaan ini belum lagi untuk keperluan kami empat beradik yang masih bersekolah.
“Nasib baik ibu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun belum cukup untuk membeli barangan keperluan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Norli Mohd. Adnan, 2210861824204 atau menghubunginya di talian 011-2552 2056.