MANCHESTER – Pengendali baharu Manchester United, Erik Ten Hag tidak perlu memikirkan isu kekangan bajet dalam usaha membentuk pasukan yang diinginkan apabila pemilik kelab, Avram Glazer tampil dengan sokongan penuh terhadap perancangan jurulatih dari Belanda itu.
Berdasarkan laporan media tempatan sebelum ini, seramai 10 pemain dijangka akan meninggalkan Old Trafford dan Ten Hag akan membawa masuk beberapa bintang pilihannya untuk menguatkan kembali pasukan itu musim depan.
Walaupun tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan pencapaian musim 2021/22, Glazer yang ditemui di Forum Ekonomi Dunia menyatakan kesediaan kelab itu untuk terus membuat pelaburan.
“Saya tidak fikir ini adalah masa untuk bercakap mengenainya (kekecewaan musim ini). Ia adalah musim yang mengecewakan buat semua orang, namun kami perlu bekerja keras untuk pastikan musim depan lebih baik.
“Kami sentiasa berbelanja untuk membeli pemain baharu dan itu bukanlah perkara yang sulit buat kelab ini,” katanya.
The Red Devils mengutip 58 mata untuk menamatkan musim ini di tangga keenam dan situasi dihadapi meneruskan lagi kemarau kejuaraan mereka sejak 2017.
Ketika ditanya mengenai kemampuan Ten Hag untuk mengembalikan kegemilangan United, Glazer menjelaskan keputusan kelab untuk menandatanganinya sudah menjadi bukti keyakinan terhadap jurulatih itu.
“Sebab itu kami ambil dia dan saya percaya dia akan lakukan tugas dengan baik,” jelasnya.
– AGENSI