LONDON – Sekalipun gagal untuk menjuarai saingan liga, impak yang dijelmakan Jurgen Klopp bersama Liverpool masih mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Tahunan dan Pengurus Terbaik Tahunan Persatuan Pengurus Liga Perdana Inggeris (LMA).
Pengurus dari Jerman itu mengetepikan pencabar terdekatnya, Pep Guardiola, Thomas Frank, Patrick Vieira dan Eddie Howe, malah ia juga adalah anugerah kali kedua dimenangi oleh Klopp.
Untuk anugerah LMA, Klopp diangkat sebagai penerima selepas memacu The Reds memenangi Piala FA, Piala Liga Inggeris dan layak ke final Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Real Madrid di Paris, awal pagi Ahad ini.
“Agak gugup kerana ini adalah bukan prestasi terbaik kami, namun segalanya sudah diatasi. Apabila kamu memenangi hadiah, ia mungkin kerana anda seorang yang genius atau pun memiliki barisan kejurulatihan terbaik di dunia.
“Saya berada di sini bersama empat staf kejurulatihan dan mereka juga tahu yang saya begitu menghargai mereka,” kata Klopp.
Bagi Anugerah Pengurus Terbaik Tahunan, pemenang ditentukan oleh undian daripada penyokong.
Walaupun mendapat pengiktirafan, Klopp menjelaskan fokusnya kini adalah untuk menyiapkan pasukan bagi menghadapi final Liga Juara-Juara dan tempoh sekarang adalah paling kritikal untuk melengkapkan tiga trofi semusim.
“Pemain sudah mengharungi musim yang hebat, perjalanan kami juga agak luar biasa. Kami hampir juara, namun ia nyata belum lagi cukup.
“Kami akan teruskannya musim depan. Sekarang kami ada beberapa hari lagi untuk bersiap sedia menghadapi final Liga Juara-Juara dan sudah pasti kegagalan di liga akan meningkatkan lagi kemahuan untuk capai kejayaan,” jelasnya. – AGENSI