PARIS – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe tetap menyimpan hasrat untuk menyertai Real Madrid satu hari nanti biarpun bersetuju dengan kontrak baharu kekal di PSG dan meraih pendapatan £650,000 (RM3.57 juta) seminggu.
Keputusan Mbappe membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong Real selepas penyerang berusia 23 tahun itu pernah mendedahkan keinginan berhijrah ke Madrid apabila tamat kontrak pada 30 Jun depan.
Bagaimanapun, Mbappe membuat keputusan menolak pelawaan Real yang pernah mengemukakan tawaran bernilai £154 juta (RM847.11 juta) kepada PSG musim panas lalu, untuk kekal tiga tahun lagi di Parc des Princes sehingga 30 Jun 2025.
Namun, bintang Perancis itu tetap membuka pintu untuk sebarang kemungkinan urusan perpindahan dengan Real pada masa depan.
“Anda tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan. Saya tidak mahu fikirkan mengenainya kerana saya fokus kepada masa sekarang iaitu saya tandatangan kontrak baharu selama tiga tahun di PSG,” kata Mbappe.
Mbappe mendedahkan, dia telah menghubungi Presiden Real, Florentino Perez untuk memaklumkan keputusannya menolak tawaran Los Blancos terlebih dahulu sebelum dia mengumumkannya secara rasmi.
“Saya sangat menghormati beliau (Perez) dan kelabnya (Real). Sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya bercakap dengan beliau secara peribadi kerana itu sahaja jalan terbaik yang ada,” jelasnya.
Selain Real, Mbappe juga pernah mengadakan rundingan bersama Liverpool dalam dua situasi berbeza, namun keputusannya untuk kekal bersama PSG sememangnya adalah satu berita gembira buat seluruh rakyat Perancis. – AGENSI