PARIS – Pemain No.3 dunia, Paula Badosa melangkah ke pusingan kedua kejohanan tenis Terbuka Perancis selepas menewaskan Fiona Ferro 6-2, 6-0 pada aksi pusingan pertama kelmarin.
Pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Roland Garros, dia yang juga pilihan ketiga kejohanan hanya memerlukan masa lebih kurang 54 minit untuk menyingkirkan pemain tuan rumah tersebut.
Badosa yang melangkah ke pusingan suku akhir pada edisi tahun lalu berkata, kemenangan itu nyata membakar semangatnya untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kali ini.
“Setiap minit di atas gelanggang serta kemenangan yang dilakar adalah satu perkara penting buat saya. Apa yang pasti, setiap kemenangan sentiasa menyuntik semangat saya untuk menampilkan aksi lebih baik.
“Saya sangat gembira apabila menang perlawanan hari ini (kelmarin) kerana ia beri peluang kepada saya untuk beraksi lebih baik pada pusingan berikutnya. Sudah pasti saya tidak akan sia-siakan peluang tersebut,” katanya.
Pada masa sama, pemain Sepanyol itu juga mengakui lega apabila tidak ramai yang dapat melihat dia berada dalam keadaan gugup sepanjang perlawanan kerana turun dengan tekanan cukup tinggi sebagai pilihan ketiga.
“Saya sangat lega kerana tidak ada sesiapa pun yang perasan saya berada dalam keadaan gementar apabila melangkah masuk ke dalam gelanggang. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya sangat gugup pada perlawanan itu,” ujar Badosa. – AGENSI