PETALING JAYA – Seorang bakal pengantin perempuan menzahirkan rasa sedih apabila dia selalu dihina kekasihnya dan keluarga lelaki itu.
Menerusi satu hantaran di akaun Twitter, wanita itu mengakui hidupnya kini tertekan apabila keluarga lelaki sering campur tangan terutama dalam urusan persiapan perkahwinan mereka.
Lebih menyedihkan, lelaki itu juga sering menjaga perasaan keluarganya berbanding hatinya.
“Dah banyak makan hati sampai tak rasa nak kahwin. Apa jadi kalau keluarga dia banyak mengata buruk pasal saya, tapi dia masih menangkan keluarganya,” luah gadis itu.
Susulan daripada itu, hantaran tersebut meraih simpati orang ramai yang turut memberikan nasihat kepada wanita tersebut.
“Angkat kaki sekarang adik, perkahwinan bukan mudah. Awak perlu melindungi diri awak, nanti susah dah nak angkat kaki,” komen Nabiha.
“Perkahwinan bukan senang, lebih-lebih lagi keluarga mentua yang tidak sekepala dengan kita. Sepatutnya suami kena lindungi kita. Jangan teruskan,” kata Melissa.
“Alang-alang belum kahwin boleh batalkan. Ingat ya, kahwin bukan dengan dia seorang, dengan keluarga dia juga. Sila cari lain demi kebahagian masa depan sendiri,” tulis Alia Sabarina. – KOSMO! ONLINE.