TANAH MERAH – Tiga individu termasuk seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung setinggi 100 meter di Jalan Kampung Bukit Gual, Sokor di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Wan Ahmad Syafiq Wan Shamsudin, 23, cedera ringan pada kaki dan badan manakala dua penumpang iaitu pengarah urusan sebuah ladang, Wan Mohd. Boestaman Wan Shahrudin, 39, cedera pada bahagian pinggang dan Nor Hidayah Mohd.Zaki, 33, parah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan mendapati, kenderaan itu dinaiki oleh ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan ke sebuah ladang balak dari arah Kuala Tiga ke Sokor.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan mendaki, kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi 100 meter di sebelah kiri jalan.
“Semasa Toyota Hilux itu berada di dalam gaung, salah seorang mangsa telah menghubungi Balai Polis Kuala Tiga dan memaklumkan kejadian yang menimpa mereka.
“Pasukan bomba dan penyelamat telah membantu polis untuk menjalankan operasi menyelamat ketiga-tiga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zulfikri, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Tanah Merah di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd.Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.56 petang sebelum 13 pegawai termasuk anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kita dua jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda itu. – KOSMO! ONLINE.