fbpx

Kembali hidup solo, Aishah tidak pernah rasa sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH diceraikan dengan bekas suaminya talak satu melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Disember tahun lalu.

PETALING JAYA – “Saya tak sunyi walaupun hidup sendiri.”

Demikian perkongsian penyanyi terkenal Datuk Aishah Ariffin atau nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Ariffin mengenai kehidupannya yang kini kembali solo selepas disahkan bercerai pada tahun lalu.

Ujarnya yang terkenal menerusi lagu Janji Manismu itu, rasa sunyi atau keseorangan juga tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya kerana bersyukur masih mempunyai anak-anak yang setia menemani.

“Saya baik-baik sahaja dan perceraian ini tidak bawa banyak perubahan dalam kehidupan. Saya ada rumah sendiri, anak-anak dan lain-lain cuma tidak berpasangan saja.

“Sejak dulu saya memang seorang yang berdikari dan buat semua perkara sendiri termasuk memandu seorang diri ke jemputan persembahan.

“Jika tanya apa kekuatan, jawapannya ialah hubungan baik dengan Allah SWT,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya, Ketentuan Takdir di sini semalam.

Menjawab soalan cepumas mengenai mencari pengganti, dia memberitahu hatinya masih belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki untuk dijadikan sebagai suami.

“Sekarang ini tiada episod ‘cintan-cintun’, hanya fokus pada diri sendiri. Buat masa sekarang rasa tawar juga tetapi kuasa Allah siapa yang tahu, Dia boleh bolak-balikkan hati ini bila-bila masa sahaja.

“Sekarang ini, jika nak bangun ikut suka, hendak masak atau tidur seharian pun tidak ada siapa nak tegur.

“Tetapi jika tiba-tiba ada cinta hati, kena masak. Itu semua kita tak tahu sebab saya pernah ada pengalaman itu. Dalam pada tak nak, tapi ada juga. Sebab itu tak berani nak cakap,” katanya lagi.

Ditanya tentang sekiranya ada lelaki yang ingin mendekati dirinya, Aishah berkata, individu tersebut perlu ‘berdepan’ dahulu dengan anak-anaknya.

“Jika ada, kalau boleh jumpa mereka dulu. Sekarang ini mereka adalah penjaga saya dan mereka pun sudah cukup dewasa,” katanya lagi.

Terdahulu, pada November tahun lalu, Aishah mendedahkan sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung dengan bekas suami, Syamsul Bahari yang dikahwininya pada 2017.

Tidak lama kemudian, Aishah mengesahkan telah diceraikan dengan talak satu melalui aplikasi WhatsApp sejak 25 Disember lalu.

Sebagai info, menerusi perkahwinan pertama, Aishah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Armand Azhari, 28, dan Azhad Ahlami, 23, pula daripada hasil perkahwinan keduanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI