KOTA KINABALU – Tindakan dua kanak-kanak perempuan warga asing cuba menyelamatkan ahli keluarga yang terjatuh ke dalam parit bertukar tragedi selepas mereka ditemui lemas di Kampung Bunga Raya, Kepayan pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa berusia lima hingga 12 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth II pada pukul 2.30 petang.
Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati mereka bertiga mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal berjiran di rumah setinggan di kampung terbabit.
“Kedudukan lokasi kejadian agak terpencil kira-kira 200 meter dari kawasan rumah di Kampung Bunga Raya.
“Keadaan lokasi kejadian juga membabitkan parit sedalam dua meter dan air sedang pasang.
“Semua mangsa dipercayai sedang bermain di tebing sebelum seorang daripada mereka tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam parit.
“Dua daripada mangsa cuba membantu tetapi ketiga-tiga mereka lemas kerana tidak pandai berenang,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – KOSMO! ONLINE.