fbpx

Waris jemaah haji tidak dibenarkan menunggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman(kiri) ketika sidang akhbar Operasi Haji bagi musim 1443H/2022M di Menara Tabung Haji. FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Waris jemaah haji dinasihatkan untuk tidak menunggu di stesen berlepas ketika menghantar bakal haji yang akan berangkat ke tanah suci bermula pada 4 Jun ini.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, waris hanya dibenarkan untuk ‘drop off’ bakal haji sahaja bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Seperti kita sedia maklum, sebelum ini, stesen berlepas atau kawasan lapor diri sentiasa dibanjiri waris jemaah haji namun pada kali ini, ia sedikit berbeza di mana waris hanya dibenarkan untuk ‘drop off’ sahaja.

“Kita meminta dan memohon kerjasama semua waris jemaah haji untuk ‘drop off’ jemaah haji sahaja kerana pihak Tabung Haji harus menjaga SOP yang ditetapkan selain menjaga peraturan-peraturan dan memastikan kesihatan jemaah sebelum berlepas ke tanah suci,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Tabung Haji di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jemaah juga dinasihatkan untuk hadir enam jam sebelum penerbangan bagi memastikan kelancaran proses lapor diri sebelum berlepas ke tanah suci.

“Pada masa sama, saya juga ingin menasihatkan bakal haji untuk menjaga kesihatan dan melakukan persediaan rapi kerana kita menjangkakan suhu yang tinggi mencecah antara 50 hingga 51 darjah Celsius.

“Walaupun ia belum mencapai kemuncak musim panas di tanah suci, jemaah akan terdedah dengan cuaca yang cukup panas dan dikhuatiri boleh menyebabkan ‘heat stroke'(strok haba), kepenatan atau penyakit-penyakit tertentu,” jelasnya.

Tambahnya, individu yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini diharapkan mengambil peluang untuk menterjemahkan kesyukuran dengan menunaikan haji penuh kesungguhan.

“Saya mengharapkan jemaah haji dari negara ini mengambil peluang untuk melakukan yang terbaik, ini kerana selepas dua tahun kita tidak dapat melaksanakan, hanya kira-kira 14,306 jemaah sahaja yang terpilih pada tahun ini.

“Lakukan persiapan dari segi mental, fizikal, ilmu dan kerohanian sepanjang melaksanakan ibadah ini. Jaga nama Malaysia dan diharapkan tidak menimbulkan sebarang masalah di tanah suci,” ujarnya – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI