fbpx

Harga minyak AS RM5.75 seliter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pada 17 Februari lalu menunjukkan harga petrol melebihi AS$6 segelen terpapar pada stesen minyak di Alameda Utara, California. - AFP

WASHINGTON  – Harga minyak di seluruh Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi kelmarin dan meneruskan catatan rekod kenaikan harian menjelang cuti sempena Hari Memorial pada hujung minggu ini, lapor agensi berita United International Press.

Purata harga minyak di AS mencecah AS$4.956 sen ( RM21.77 sen) untuk satu gelen atau bersamaan RM5.75 sen seliter kelmarin, meningkat berbanding harga purata AS$4.593 segelen pada Ahad lalu.

Perkembangan itu meneruskan trend rekod harian harga minyak di AS yang berlanjutan sejak 10 Mei lalu dengan harga purata AS$4.33 (RM19.02) segelen atau kira-kira RM5.02 satu liter, demikian menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA) dalam siaran akhbarnya.

“Harga purata di seluruh negara meningkat AS$1.05 (RM4.61) lebih tinggi berbanding apabila Rusia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.

“Perkembangan  ini mencetuskan kejutan dalam pasaran minyak  dan mendorong  harganya kekal tinggi. Sementara itu, di AS permintaan bermusim terhadap minyak meningkat dengan lebih ramai pemandu berada di jalan raya  walaupun mereka terpaksa membayar harga yang membebankan,” kata jurucakap AAA, Andrew Gross.

Purata harga minyak di semua 50 negeri di AS kekal melebihi AS$4.00 (RM17.57) satu gelen dengan Alaska mencatat kenaikan mingguan paling tinggi iaitu 31 sen (RM1.36) diikuti negeri Michigan, Indiana dan New York apabila masing-masing menyaksikan kenaikan harga 18 sen (RM0.79).

Permintaan lebih tinggi menjelang cuti Hari Memorial hujung minggu ini disusuli bekalan terhad menyaksikan harga minyak terus mencatat kenaikan. Simpanan minyak menurun 4.8 juta tong kepada 220.2 juta tong minggu lalu, manakala  permintaan pula  meningkat kepada 9 juta tong berbanding 8.7 juta tong sehari.

AAA meramalkan pada minggu lalu bahawa seramai 39 juta orang akan melakukan perjalanan pada jarak melebihi 81 kilometer dari kediaman mereka semasa cuti Hari Memorial, meningkat 8.3 peratus berbanding 2021. Sekiranya ramalan itu benar, ia akan menyaksikan kapasiti perjalanan menyamai semasa tahun 2017.

Harga minyak mentah yang tidak stabil turut menyumbang kepada kenaikan harga komoditi tersebut.

“Kita akan melihat harga meningkat lebih tinggi lagi, lebih tidak stabil dan menjadi risiko utama kepada kemelesetan ekonomi global,” kata Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa, Fatih Birol kepada saluran Bloomberg TV pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Beliau memberi amaran bahawa harga tenaga akan melonjak lebih tinggi sebaik sahaja sekatan minyak ke atas Rusia mendapat kelulusan semua 27 negara Kesatuan Eropah. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI