SERDANG – Seorang ahli perniagaan cedera di rusuk kiri selepas terkena satu das tembakan di hadapan rumahnya di Jalan BK 5/3 Bandar Kinrara di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu memasuki pekarangan rumahnya menaiki sebuah kereta.
Difahamkan, mangsa baru pulang makan dari sebuah restoran berhampiran bersama isteri dan anaknya.
Satu sumber berkata, suspek yang menunggang motosikal itu melepaskan tembakan selepas mangsa keluar dari keretanya.
“Suspek dikatakan memanggil nama mangsa dan sebaik dia menoleh, suspek melepaskan satu das tembakan.
“Mangsa cedera pada rusuk kiri akibat terkena tembakan itu dan dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Difahamkan, mangsa menguruskan perniagaan bersama keluarganya. – K! ONLINE