WASHINGTON – Manusia paling kaya di dunia, Elon Musk mengalami kerugian AS$10 bilion dalam masa hanya satu hari selepas beliau didakwa melakukan gangguan seksual oleh seorang bekas pekerjanya, lapor laman berita Metro.co.uk kelmarin.
Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, Musk memiliki kekayaan berjumlah sekitar AS$212 bilion (RM931.2 bilion) setakat Khamis lalu.
Sebaik sahaja dakwaan gangguan seksual itu disiarkan pada malam hari yang sama, kekayaannya merosot kepada sekitar AS$201 bilion (RM882.8 bilion).
Musk memiliki 47 peratus pegangan dalam SpaceX yang bernilai AS$125 bilion (RM549 bilion). Namun, nilai SpaceX tidak banyak berubah kerana ia bukan syarikat awam.
Musk didakwa membayar AS$250,000 kepada seorang kru penerbangannya supaya menutup mulut tentang gangguan seksual yang dilakukan oleh bilionair itu.
Wanita itu mendakwa bahawa Musk mendedahkan dirinya, meminta seks, menggosok kakinya dan menawarkan untuk membeli seekor kuda sebagai tukaran kepada urutan eksotik.
Dakwaan yang disiarkan dalam Business Insider itu menyatakan bahawa Musk membuat tawaran tidak senonoh tersebut semasa pekerja itu mengurutnya dalam satu penerbangan ke London pada 2016.
Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu ditanya oleh Musk sekiranya dia boleh datang ke biliknya di dalam pesawat itu untuk melakukan ‘urutan seluruh badan’ demikian menurut seorang rakan kepada bekas pekerja itu.
Pada November 2018, SpaceX dan kru penerbangan itu mencapai penyelesaian di luar mahkamah termasuk pampasan AS$250,000 (RM1.09 juta) kerana tidak menyaman Musk.
Di sebalik berita tersebut, Musk menafikan melakukan gangguan seksual dan berkata, serangan terhadap dirinya itu bermotifkan politik kerana beliau mengumunkan berpaling tadah dan menyokong Parti Republikan.
Manusia paling kaya di dunia itu juga tidak berdepan risiko hilang gelaran kerana pesaingnya yang mengekori di tempat kedua, Jeff Bezos mempunyai kekayaan sekadar AS$131 bilion (RM579.8 bilion). – Agensi