TOKYO – Seorang lelaki di Jepun membuat keputusan untuk menjalani kehidupan sebagai seekor anjing dengan memakai kostum haiwan itu yang kelihatan amat realistik, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Pengguna Twitter yang hanya dikenali sebagai Toco itu menempah kostum anjing profesional daripada sebuah syarikat pakar dalam kesan-kesan dan model khas, Zeppet.
Kostum berharga kira-kira AS$15,000 (RM65,875) itu kelihatan amat realistik dan menakjubkan sehinggakan Taco kelihatan seperti anjing Collie sebenar.
Ia dilaporkan dibuat dengan jahitan tangan menggunakan bulu sintetik dan memberi perhatian kepada perincian sebenar anjing baka Collie. Kostum itu mengambil masa selama 40 hari untuk disiapkan.
“Kami menggunakan beberapa imej anjing Collie dari sudut berbeza, meningkatkan kegebuan bulu bagi menyembunyikan pelapik kostum sebaik mungkin dan menjadikan bahagian mulut boleh terbuka dan tertutup dengan sendiri.
“Setakat ini, pelanggan utama syarikat kami adalah syarikat-syarikat pengiklanan dan filem. Pelanggan individu hanya merangkumi sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan,” kata seorang jurucakap Zeppet.
Kira-kira sebulan lalu, Toco menerusi saluran YouTube miliknya mengumumkan bahawa dia ingin berkongsi kehidupannya sebagai seekor anjing dengan seluruh dunia.
Dia bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan ketika ditanya sebab ingin menjadi seekor anjing. – Agensi