PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi berkaitan berhubung isu harga dan bekalan ayam di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hal ini untuk bersama-sama mencari dan melaksanakan tindakan penyelesaian bagi mereSemoga alisasikan saranan yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“KPDNHEP menyambut baik saranan dan solusi yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri dalam menangani isu bekalan dan harga ayam.
“Ini termasuklah mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kenyataan sah wujud kartel seperti dilaporkan oleh sebuah media semalam adalah tidak tepat sama sekali kerana kes masih disiasat dan belum dapat dibuktikan lagi.
Katanya, pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran. – KOSMO! ONLINE.