fbpx

RM1.3 juta bantu bola sepak PDRM – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah mendahulukan RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2015, kerana persatuan amat memerlukan bantuan kewangan dan pemain serta kakitangan sudah empat bulan tidak dibayar gaji.

Katanya bantuan kewangan itu adalah kerana beliau merasakan kebajikan pemain dan kakitangan akan terjejas teruk sekiranya mereka yang kebanyakannya sudah berkeluarga tidak dibayar gaji malah pendahuluan yang diberikan itu seiring dengan objektif yayasan.

“Perkara ini juga diketahui pemegang amanah yang lain dan saya menegaskan mereka tidak pernah membantah pendahuluan (advance) ini kerana ia sejajar dengan objektif yayasan. Selain itu, saya juga menyatakan berdasarkan keterangan menantu saya, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membayar semula pendahuluan yang saya berikan sebanyak RM1 juta kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co pada 14 Julai 2017,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, beliau sebelum ini tidak pernah memberi apa-apa sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, bagaimanapun, sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, PDRM berada di bawah kendaliannya.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa pemain persatuan itu adalah pemain sepenuh masa yang bergantung sepenuhnya kepada gaji yang diberikan sebagai pemain bola sepak dan kebanyakan pemain serta kakitangan sudah berkeluarga.

Jelas Ahmad Zahid, gaji pemain dan kakitangan secara purata adalah dalam anggaran RM500,000 sehingga RM600,000 sebulan di mana ketika persatuan mempunyai masalah kewangan, bayaran gaji yang tertunggak adalah dalam anggaran sebanyak RM1.3 juta iaitu tunggakan selama empat bulan.

Sementara itu, dalam keterangannya hari ini, Ahmad Zahid turut menafikan beliau pecah amanah dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM10 juta dengan memberikan pinjaman kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI