fbpx

3,224 akaun palsu media sosial dikesan SKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,224 akaun palsu telah dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2019 sehingga Ogos 2020, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, sebanyak 80 peratus telah berjaya dipadamkan oleh SKMM hasil kerjasama pihak penyedia platform media sosial berlandaskan terma dan syarat ditetapkan.

“Kandungan lain berunsur kebencian dan buli siber yang mana 3,638 akaun akan dirujuk untuk tindakan lanjut bersama penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Google, YouTube dan sebagainya.

“Manakala sebanyak 60 peratus telah dipadamkan berdasarkan terma dan syarat piawaian komuniti platform berkenaan. Selain maklumat pengguna media sosial.

“Pihak penyedia media sosial seperti Facebook turut memantau kandungan serta akaun di platform mereka yang akan diambil tindakan sewajarnya jika melanggar piawai komuniti yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada sidang Dewan Negara semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk A. N. Kesavadas yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mengkaji atau menggubal undang-undang bagi mengawal kes buli menggunakan media sosial.

Dalam pada itu, kementerian juga akan melakukan pindaan undang-undang baharu dalam menggantikan akta sedia ada bagi memastikan kes buli siber dapat ditangani secara berkesan melalui media sosial.

Saifuddin berkata, bagi mencapai hasrat itu kerajaan sedang melaksanakan kajian dengan teliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut dapat dibangunkan secara efektif.

“Undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Jenayah Komputer 1997 boleh digunakan oleh penguat kuasa dalam menggunakan undang-undang sedia ada termasuk perundangan sivil yang tertakluk kepada fakta kes.

“Sekiranya undang-undang sedia ada tidak memadai bagi menangani buli siber, undang-undang tersebut perlu dipinda dengan sewajarnya oleh konsultasi awam serta pihak berkepentingan bagi memastikan perundangan dan pindaan baharu wajar dan berkesan.

“Pihak kementerian sedang jalankan kajian bersama universiti dan media bagi menjalankan penyelidikan berkaitan keperluan perundangan khusus antibuli siber, sesi libat urus dan perbincangan sedang dilakukan dalam mencari jalan terbaik,” katanya.

Kosmo! sebelum ini pernah mengeluarkan artikel muka hadapan mengenai masalah buli siber yang semakin membimbangkan sehingga ada mangsa buli ini mengalami tekanan perasaan melampau dan ada juga yang ingin membunuh diri. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI