KIEV – Seorang askar Rusia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas dia mengaku membunuh seorang penduduk awam Ukraine berusia 62 tahun dalam perbicaraan jenayah perang pertama berhubung konflik tersebut, lapor laman berita Sky News semalam.
Sarjan Vadim Shishimarin menembak lelaki itu melalui tingkap sebuah kereta yang terbuka di Kampung Chupakhivka, sekitar 137 kilometer dari Kharkiv.
Dia yang merupakan komander kereta kebal berusia 21 tahun, mengaku bersalah di sebuah mahkamah daerah Kiev kerana melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki itu pada 28 Februari lalu, empat hari selepas pencerobohan Moscow.
Shishimarin tidak menunjukkan sebarang emosi ketika hukuman dibacakan semalam.
Pendakwa raya Ukraine menyatakan bahawa dia bersama empat askar Russia lain telah melepaskan tembakan dan mencuri sebuah kereta untuk melarikan diri selepas unit kereta kebal mereka menjadi sasaran tembakan tentera Ukraine.
Apabila tiba di Chupakhivka, sekitar 321 kilometer ke timur Kiev, mereka melihat seorang lelaki mengayuh basikal sambil bercakap menggunakan telefon bimbitnya.
Shishimarin diarah membunuh orang awam itu oleh seorang askar lain untuk menghalang mangsa daripada memberi amaran tentang kehadiran tentera Russia di kampung tersebut.
Dia membunuh lelaki itu dengan melepaskan tembakan yang mengenai kepala mangsa melalui tingkap kereta.
Shishimarin didakwa di bawah seksyen kod jenayah Ukraine mengenai undang-undang perang. – Agensi