ROM – AS Roma kini selangkah lagi untuk menamatkan penantian menjuarai gelaran di pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab itu sejak memenangi Piala Inter-Cities Fairs pada musim 1960/1961.
Ketua Jurulatih Roma, Jose Mourinho menggesa barisan pemainnya agar bersedia sepenuhnya menjelang aksi final Liga Konferens Europa menentang Feyenoord di Arena Kombetare di Tirana, Albania awal pagi esok.
Pengendali berusia 59 tahun itu juga mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah memburu kejuaraan kerana sebarang kesilapan boleh mengundang risiko buat pasukan.
“Liga Konferens Europa adalah pentas ‘Liga Juara-Juara’ kami. Inilah tahap yang sepatutnya kelab ini bermain selepas sekian lama gagal melangkah sehingga ke perlawanan akhir.
“Ia juga peluang untuk kami merangkul gelaran Eropah yang pertama.
“Saya harap para pemain dapat mengharungi final ini dengan memberikan prestasi paling baik yang mereka miliki.
“Kami perlu lupakan sejarah Roma, hanya fokus kepada lawan di final nanti. Ia akan menjadi satu momen yang paling indah buat semua penduduk di Rom jika kemenangan milik kami,” kata Mourinho.
Penyerang England, Tammy Abraham pastinya menjadi pertaruhan utama Roma berdasarkan prestasi cemerlangnya meledak 17 gol daripada 37 perlawanan Serie A sejak berhijrah daripada Chelsea awal musim ini.
Sebagai rekod, Roma berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Feyenoord ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan 16 terbaik Liga Europa pada 2015. – AGENSI