Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Jenazah bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, 88, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, kira-kira pukul 3 petang tadi.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini.
Anak sulungnya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim, 52, berkata bapanya itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, selepas mengalami kesukaran bernafas pada Sabtu lalu.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati berlaku jangkitan kuman pada anggota badan hingga menyebabkan jantung arwah terlalu lemah.
“Kali terakhir saya melawat bapa pada Ahad lalu dan terkejut apabila dimaklumkan berhubung pemergiannya kira-kira pukul 6 pagi tadi,” katanya ditemui pemberita di tanah perkuburan itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.
Ujar Wan Abdul Hakim, die sekeluarga bersyukur kerana pemergian Allahyarham dan segala urusan dipermudahkan Allah.
“Kami sememangnya telah bersedia kerana segala tentang beliau diuruskan sepenuhnya oleh semua ahli keluarga sebelum ini.
“Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar dan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan insan yang beriman dan dirahmati Allah,” katanya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court akibat komplikasi jantung, kira-kira pukul 6.20 pagi.
Wan Mokhtar yang meninggalkan lima anak dan 20 cucu merupakan Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat dari 1974 hingga 1999.
Bekas ADUN Chukai itu turut pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari 2000 hingga 2005.
Pada 21 April 2018, jenazah isteri Allahyarham, Allahyarhamah Puan Sri Aishahtun Mohd Fadlullah Suhaimi, 85, turut dikebumikan di tanah perkuburan sama. -K! ONLINE