JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima lima laporan berhubung penipuan melibatkan penjualan tiket penerbangan ke Korea Selatan yang mensasarkan warganegara berkenaan di negeri ini sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket penipuan itu telah dikesan bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan penipuan itu melibatkan jumlah kerugian bernilai RM59,125.
“Penipuan berkenaan didalangi sepasang lelaki dan wanita, masing-masing seorang warganegara tempatan dan seorang warganegara Korea, dimana mereka mensasarkan rakyat negara berkenaan yang mahu pulang ke negara asal.
“Mangsa bagaimanapun menyedarkan mereka ditipu suspek yang telah membuka akaun bank atas nama agensi pelancongan palsu. Kes ini bukan hanya melibatkan mangsa yang membuat laporan di Johor sahaja, tetapi di beberapa negeri lain seluruh negara termasuklah di Kuala Lumpur dan juga Sabah,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, pasangan yang berusia 20-an dan 30-an itu telah ditahan polis di Sabah beberapa hari lalu dan akan dibawa ke Johor untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada 11 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah menerima 20 laporan berhubung penipuan berkenaan dengan kerugian bernilai RM233,954.-KOSMO! ONLINE