Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 328 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM9,840 dalam dua serbuan berasingan di Kampung Jedok dan Kampung Gual Jedok di Tanah Merah semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya merampas 49 kg daun ketum dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Jedok pada pukul 7.30 malam.
Katanya, dalam serbuan itu, tiga rakyat tempatan dan dua warga Thailand telah ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.
“Empat daripada lima suspek yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka.
“Serbuan kedua pula dijalankan di kawasan kebun getah di Kampung Gual Jedok dan kita berjaya merampas 279 kg daun ketum bernilai RM8,385. Bahan itu ditemui dalam keadaan ditutup dengan kanvas bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh anggota penguatkuasa,” katanya.
Azhari memberitahu, siasatan awal untuk kes pertama mendapati salah seorang dari suspek yang ditangkap merupakan pengedar daun ketum untuk pasaran tempatan.
Katanya, suspek itu didapati mengambil sendiri bekalan daun ketum dari seorang pembekal dari Kedah.
Kes tangkapan pertama disiasat mengikut Sekyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Sekyen 6 (3) Imigresen 1959/63 manakala kes kedua pula kita siasatan bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE