PETALING JAYA – Cef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan memaklumkan bahawa bekas menantunya, Shikin Maembong mahu menarik balik saman malu yang dikenakan kepadanya sebelum ini.
Menerusi satu perkongsian dalam Instagram, pemilik nama sebenar Redzuawan Ismail itu berkata, perkara tersebut disampaikan anaknya, Serina yang turut memberitahu Shikin ingin mengadakan pertemuan dengannya.
“Serina mesej pagi tadi untuk beritahu, Shikin bekas menantu saya nak jumpa bagi menjelaskan keadaan dan tarik saman.
“Dia tanya, boleh kita jumpa tengah hari ini dengan anak-anak Pa? Saya cakap tidak mengapa, saya sudah maafkan Shikin dan berharap dia juga sama.
“Saya tak mahu berjumpa dengannya atau mendengar semua drama anak-anak dan bekas menantu. Saya minta maaf terpaksa menolak.
“Boleh tak kita teruskan saja kehidupan? Saya tak boleh lagi tangani apa saja isu membabitkan anak-anak, bekas menantu serta menantu,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Sebelum ini, Shikin yang juga bekas isteri putera sulung Chef Wan, Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz mengambil tindakan mengemukakan saman malu terhadapnya dengan tuntutan sebanyak RM1 juta.
Menerusi hantaran sama, figura popular berusia 65 tahun itu turut mendedahkan sudah banyak berkorban demi kebahagiaan insan sekeliling sekali gus meminta diberi ruang untuk dirinya sendiri.
Malah katanya, kebaikan yang dihulur seakan tiada erti apabila dirinya pula terpaksa berhadapan aib dipelakukan sesetengah pihak yang dibantu.
“Apa yang saya selalu dapat semula hanyalah rasa malu yang amat sangat memikul perbuatan masing-masing yang tidak bertanggungjawab.
“Apabila nasihat macam mencurah air di atas daun keladi! Kita pula jadi mangsa kutukan orang yang jenis macam mereka ini juga. Saya sudah muak!
“Tolonglah ada sikit simpati kerana saya pun ada kehidupan. Banyak perkara yang sedang saya kendalikan sekarang dan saya tak seharusnya berdepan tekanan serta perkara mengarut.
“Ramai lagi orang mempergunakan saya dan menyalahgunakan kepercayaan diberi. Tidak mengenang budi, macam melepaskan anjing tersepit,” luahnya lagi.
Pada Februari lalu, Shikin menghantar notis saman malu kepada Chef Wan yang menegurnya secara terbuka gara-gara pertelingkahan dengan Chef Riz berhubung isu penjagaan anak tunggal mereka, Putri Arriana Natasya, 7.
Aktres itu mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz pada Disember 2014 namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila mengambil keputusan bercerai hampir dua tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE