JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket penyeludupan minyak diesel yang baru sebulan beroperasi berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dalam serbuan di Jalan Penaga 11, Kawasan Perindustrian Kota Putri, Masai, di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan pada pukul 11.45 malam itu, PGA Batalion 5 turut merampas 45,500 liter diesel bernilai RM111,475.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 5, Superintendan Dimin Awang berkata, lima lelaki termasuk tiga warga asing berusia antara 28 hingga 53 tahun berjaya diberkas di lokasi kejadian.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki berkapasiti 1,000 liter ke dalam tangki berkapasiti 20,000 liter.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, PGA telah berjaya membuat rampasan 45,500 liter minyak diesel subsidi, skid tank kapasiti 10,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter dan tiga mesin pam minyak.
Turut disita ialah dua buah lori jenis Scania P380 dan lori jenis Nissan UD dan sebuah lori tangki treler dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM472,575.-KOSMO! ONLINE