fbpx

Empat anak tetap sedia tunggu jasad ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Usaamah bersama dua kakaknya tetap setia menanti sebarang perkhabaran mengenai ibu mereka ketika ditemui di Pantai Kampung Che Wan Kijal, Kemaman, semalam.

KEMAMAN – Biarpun telah empat hari kejadian hilang di laut, empat anak Rokiah Abd. Rahman, 59, yang disyaki lemas bersama suaminya ketika mandi di Pantai Kampung Che Wan, Kijal di sini pada Jumaat lalu tetap sabar dan setia menunggu jasad ibu mereka dijumpai.

Salah seorang anak mangsa, Muhammad Usaamah Ahmad Qorib, 19, berkata, mereka empat beradik berharap wanita berke­naan dapat ditemui segera biar pun sekadar sekujur jasad.

“Hati kecil masih berharap ibu selamat tetapi sekiranya beliau pergi juga seperti arwah ayah (Ahmad Qarib Ab. Kadir, 60), kami akur dan reda dengan ketentuanNya.

“Kalau boleh, kami mahu cepat-cepat semadikan jenazah ibu seperti ayah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntut Pulau, Temerloh, pada Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di Pantai Kampung Che Wan di sini semalam.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan percutian Ahmad Qarib dan isterinya, Rokiah bersama empat anak mereka berusia 16 hingga 24 tahun bertukar tragedi apabila suami isteri itu lemas ketika mandi di pantai.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibawa arus deras sewaktu mandi berdua di pantai tersebut pada pukul 4 pagi sebelum mayat Ahmad Qarib ditemui terdampar pada pukul 2 petang hari sama.

Muhammad Usaamah ber­kata, bapanya, Ahmad Qarib memang sudah lama merancang untuk bercuti sambil beriadah di pesisir pantai daerah ini sejak awal bulan Ramadan lalu.

Jelasnya, bapa dan ibunya ­memang gemar keindahan pantai dan sudah menjadi tabiat mereka mandi laut di setiap destinasi dikunjungi sebelum waktu subuh.

“Ayah beria-ia mencari chalet untuk bercuti dan sehari sebelum kejadian, kami sekeluarga sempat mandi laut di pantai tersebut bersama-sama.

“Saya juga baru perasan ayah sering berpesan tentang kematian sejak akhir-akhir ini. Tidak sangka itu petanda kami akan kehilangannya,” luahnya sebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI