fbpx

Syarikat Safiey Ilias didenda RM23,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Safiey didenda RM23,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur susulan memiliki produk kesihatan tidak berdaftar.

KUALA LUMPUR – Syarikat usahawan kosmetik terkenal, Safiey Ilias didenda sebanyak RM23,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini semalam atas dua pertuduhan iaitu menjual dan memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan pada tahun lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Safiey atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 26, selepas dia mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM18,000 bagi pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Safiey selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah menjual barangan keluaran yang bukan berdaftar iaitu Aurora SX Premium 30 caps sebanyak tiga kotak kepada seorang individu dan memiliki sebanyak 112 kotak jenama sama yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di premis miliknya, DSI Empire Sdn. Bhd, Jalan Kolam Air Panas, Desa Melawati di sini pukul 11 pagi, pada 8 Mei 2019.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut kesalahan dibawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Safiey yang popular dengan lagu Syinta Gila  tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perniagaannya sudah tidak berjalan sejak setahun yang lalu selain turut memaklumkan mempunyai masalah kesihatan.

“Saya mohon maaf kepada mahkamah kerana tidak dapat hadir untuk sebutan kes sebelum ini, saya ada masalah kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan Safiey, Majistret Mohamad Aizat kemudian menasihatkan Safiey supaya lebih peka dengan produk kesihatan dan kosmetik yang dijual termasuk keperluan mendaftar dengan KKM.

“Saya berharap kesalahan ini tidak berulang lagi pada masa akan datang, kamu (Safiey) sebagai usahawan kosmetik seharusnya peka kerana produk akan diguna pakai oleh masyarakat umum.

“Tujuan pendaftaran ini (produk kesihatan) adalah untuk menjaga keselamatan pengguna, sebagai contoh kalau ada supplemen atau produk kesihatan dimakan dan memberi bahaya, kamu akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Sebelum ini Safiey dikenakan waran tangkap sebanyak dua kali iaitu pada 15 Mei dan 6 Ogos lalu selepas gagal hadir ke mahkamah bagi pertuduhan kes itu.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ahmad Zuhri Md. Ali dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI