fbpx

Rakyat Britain tidak mampu bayar bil tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYARIKAT bekalan tenaga E.On berkata, sekitar satu daripada lapan pelanggannya bergelut untuk membayar bil tenaga mereka. - Getty

LONDON – Kira-kira 40 peratus keluarga di Britain atau lapan juta isi rumah diramal hidup dalam keadaan digelar ‘kemiskinan bahan bakar’ menjelang Oktober ini sekiranya pihak berkuasa negara itu tidak mengambil langkah untuk menurunkan harga tenaga, lapor laman berita RT, kelmarin.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat bekalan tenaga E.ON, Michael Lewis dalam temu bual bersama Badan Penyiaran British (BBC).

‘Kemiskinan bahan bakar’ yang dimaksudkan adalah keadaan di mana lebih 10 peratus daripada pendapatan boleh guna isi rumah digunakan untuk membayar bil tenaga yang semakin melambung tinggi.

“Sebilangan orang kini berada di ambang kemiskinan dan mereka tidak mampu membayar bil tenaga. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk,” kata Lewis sambil menambah bahawa satu pertiga daripada pelanggan E.ON telah mengurangkan perbelanjaan untuk makanan.

Beliau meminta pihak yang terlibat untuk meringankan beban rakyat tanpa memberikan butiran khusus mengenai langkah yang perlu diambil kerajaan.

“Perkara yang paling penting adalah kerajaan perlu campur tangan. Terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan bagaimana mereka akan melaksanakannya,” jelas beliau.

Had harga tahunan untuk tenaga di Britain dijangka meningkat sehingga £3,000 (RM16,510) seawal musim luruh akan datang iaitu pada Oktober berbanding £1,277 (RM7,027) yang perlu dibayar sebelum April lalu, kata Lewis.

Berjuta-juta isi rumah di seluruh Britain menghadapi kesan kenaikan kos tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini. 

Peningkatan 54 peratus dalam had harga tenaga seperti yang dilaporkan bermaksud sebuah keluarga perlu membayar £1,971 (RM10,849) setahun untuk bil gas dan elektrik pada jumlah penggunaan yang sama. 

Sementara itu, mengenai krisis sara hidup yang kini membelenggu rakyat Britain, Lewis berkata, beliau menjangkakan keadaan itu akan berlaku selama lebih satu setengah tahun.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada Oktober. Saya fikir untuk 18 bulan akan datang, kita mungkin melihat kos sara hidup meningkat lebih tinggi sudah tentu pada Oktober dan mungkin juga tahun depan,” jelasnya.

Satu tinjauan oleh peneraju global dalam penyelidikan pasaran, Ipsos UK yang dilaporkan stesen penyiaran Sky News awal minggu lalu mendedahkan bahawa 65 peratus rakyat Britain menahan diri daripada menghidupkan pemanas dalam usaha untuk menjimatkan wang.

Dalam pada itu, satu daripada empat penduduk di negara itu dilaporkan ‘mengikat perut’ dan menahan lapar.

Pada Jumaat lalu, Bank of England mengakui tidak dapat mengawal inflasi negara itu yang melonjak ke paras tertinggi sejak 40 tahun pada April lalu.

Ketua ekonomi bank itu berkata, inflasi dijangka meningkat ke kadar tertinggi sehingga 10.25 peratus pada suku keempat tahun ini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI