GEORGE TOWN – Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang dianggotai enam sekeluarga tumpas selepas mereka ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan dekat sini pada 18 Mei lalu.
Dalam operasi terancang bermula pukul 6 petang hingga 9.50 malam itu, polis berjaya menahan ketua sindiket berusia 38 tahun, ibu dan bapa ketua sindiket berusia 64 dan 62, anak dan menantu pasangan tersebut berusia 36 dan 38 tahun serta seorang lagi ahli keluarga mereka berusia 38 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.28 kilogram (kg) bernilai RM298,332 dalam operasi itu.
“Menerusi serbuan pertama di tepi jalan di Sungai Bakap, polis menahan ketua sindiket iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan merampas dadah jenis syabu seberat 6.2 kg bernilai RM223,596.
“Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di Bukit Tengah dan menahan empat suspek iaitu ibu bapa lelaki tersebut dan anak serta menantu pasangan berkenaan selain merampas syabu seberat 2.07 kg bernilai RM74,736,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut beliau, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Bagan, Butterworth dan menahan seorang wanita berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, dua lelaki daripada semua yang mereka ditahan bekerja sebagai pemandu van kilang, manakala yang lain tidak bekerja dan mereka yang merupakan ahli keluarga dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak tahun lepas.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah sindiket itu aktif sejak Mei tahun lalu untuk pasaran tempatan.
“Ujian saringan air kencing ke atas enam suspek didapati negatif dadah dan semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod dadah manakala lima lagi tidak mempunyai rekod dadah serta jenayah,” katanya.
Katanya, suspek direman selama enam hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE