fbpx

Malaysia alih fokus bertemu Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (dua dari kiri) berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pasukannya pada aksi pertama Piala Asia 2022 di Jakarta hari ini. - MHC

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj enggan cepat bergembira dengan kejayaan membelasah Oman 7-0 pada aksi pembukaan Piala Asia 2022 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta hari ini.

Arul menganggap kemenangan ke atas Oman sudah menjadi sejarah kerana tumpuan selepas ini terarah kepada pertembungan getir menentang pasukan No.16 dunia, Korea Selatan untuk aksi kedua Kumpulan B esok.

“Saya tak boleh dedahkan strategi tetapi Korea Selatan mempunyai barisan kejurulatihan yang bagus dan pemain yang mampu menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

“Ia sesuatu yang bagus apabila kami menentang Oman terlebih dahulu supaya kami dapat cepat sesuaikan diri dengan kejohanan.

“Esok adalah perlawanan yang baharu dan hari ini sudah menjadi sejarah,” kata Arul yang gembira menyaksikan keseluruhan prestasi ditunjukkan barisan pemainnya.

Mengulas lanjut, Arul mengakui, ia bukan sesuatu yang mudah buat anak-anak buahnya untuk memulakan kempen dengan langkah sempurna selepas hampir tiga tahun tanpa kejohanan antarabangsa.

“Dari segi emosi dan mental juga tidak senang selepas lama tiada kejohanan antarabangsa. Namun, saya percaya para pemain akan bangkit kerana misi kami adalah memenangi setiap perlawanan di sini,” jelasnya.

Malaysia, No.11 dunia, bermula garang apabila meraih tiga gol menerusi ledakan hatrik Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit keenam, 13 dan 19.

Baki empat lagi gol skuad negara berjaya dijaringkan oleh Faizal Saari pada minit ke-23, Muhammad Shahril Saabah (m-34), Faiz Helmi Jali (m-40) dan Mohamad Ashran Hamsani (m-48).

Sebagai rekod, Malaysian Tigers menyasarkan kedudukan empat terbaik Piala Asia 2022 untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2023 yang akan diadakan di India awal tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI