HANOI – Vietnam terus membuktikan status sebagai pasukan paling digeruni di rantau Asia Tenggara selepas menewaskan Thailand 1-0 untuk memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA Vietnam 2021.
Skuad Golden Star Warriors itu harus berterima kasih kepada Namh Manh Dung yang muncul wira selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-83 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh kelmarin.
Kemenangan itu membolehkan Vietnam mempertahankan ‘ibu emas’ Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya pada edisi 2019 di Manila, Filipina.
Ia juga menyaksikan Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo berjaya membalas dendam terhadap pengendali Thailand, Alexander Polking ekoran kekalahannya sewaktu aksi separuh akhir Piala AFF awal tahun ini.
“Rakyat Vietnam sangat meminati sukan bola sepak. Kejayaan ini amat bermakna buat kami terutama apabila Vietnam adalah penganjur Sukan SEA,” kata salah seorang penyokong Vietnam, Nguyen Duc Huy.
Kejayaan itu turut diiringi dengan kecemerlangan skuad wanita Vietnam yang turut berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan Thailand 1-0 menerusi gol tunggal Huynh Nur di Stadium Cam Pha, Quang Ninh pada Sabtu lalu.
Ia adalah pingat emas ketujuh Vietnam dalam acara bola sepak wanita sejak kali pertama memenanginya pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.
Ia sekali gus melengkapkan kejayaan gemilang kontinjen Vietnam yang menutup tirai edisi ke-31 Sukan SEA kali ini dengan memungut keseluruhan 205 pingat emas, 125 perak dan 116 gangsa. – AGENSI