BARCELONA – Pelumba utama Red Bull, Max Verstappen mengakui puas dapat mengatasi cabaran daripada jaguh Mercedes, George Russell untuk membantu pasukan merekodkan kemenangan 1-2 pada Grand Prix (GP) Sepanyol, di Litar Catalunya kelmarin.
Kata Verstappen, persaingan sengit yang diberikan Russell di awal saingan telah menyukarkannya untuk mendahului perlumbaan selain masalah DRS yang dialami oleh jentera juga tidak membantu.
“Saya anggap perlumbaan ini dibahagikan kepada dua pusingan kerana pada 30 pusingan pertama saya agak bergelut untuk bersaing secara kompetitif dengan cabaran yang diberikan oleh Russell juga cukup sengit.
“Namun, situasi berbeza apabila saya dapat memintas kedudukannya sekali gus memudahkan peluang saya untuk menang perlumbaan kali ini dengan rakan sepasukan, Sergio Perez juga membuka ruang buat saya bergelar juara,” katanya.
Sementara itu, Perez mengakui agak terkilan apabila kedudukannya selaku pendahulu perlumbaan terpaksa ‘dikorbankan’ untuk Verstappen selepas mendapat arahan daripada pihak pengurusan.
“Selepas pelumba Ferrari, Charles Leclerc terpaksa menarik diri, saya berjaya mendahului perlumbaan dan layak untuk menang pada GP kali ini. Namun, strategi sudah berubah dan saya terpaksa berikan kedudukan tersebut kepada Verstappen,” katanya. – AGENSI