PETALING JAYA – Lelaki warga emas yang dipukul oleh seorang pemuda di sebuah persimpangan di Padang Jawa, Shah Alam petang semalam dalam perjalanan pulang daripada sebuah hospital selepas menjalani rawatan dialisis.
Menerusi perkongsian anak mangsa yang dikenali Muhammad Azzali Zainoldin, ketika kejadian mangsa sedang memandu ditemani isteri dan seorang cucu berusia tiga tahun setengah.
Jelasnya, kejadian berlaku apabila bapanya yang sedang memandu sedia untuk membelok keretanya ke arah sebelah kanan untuk naik ke jambatan.
Kata Muhammad Azzali, tanpa disedari datang sebuah motosikal dengan laju telah memotong kereta bapanya bukan untuk ke kanan menaiki jambatan, tetapi penunggang itu memotong untuk terus ke Jalan Mat Raji.
“Disebabkan itu , suspek merasa tidak selamat dan terus memaki ayah saya dengan jeritan yang kuat. Sebagai seorang yang tua dan berumur, ayah saya rasa bersalah dan dia keluar dari kereta untuk melihat apa yang terjadi kerana risau jika ada pelanggaran dan cedera pada suspek.
“Tiada sedikit pun pelanggaran berlaku dan kerana tidak puas hati serta melihat ayah keluar dari kereta ,suspek ‘uturn’ dan kembali ke kereta ayah. Dia terus melulu ke arah ayah dan terus terajang ayah,” tulisnya di laman Facebook.
Muhammad Azzali berkata, ayahnya tidak melawan kerana faktor umur dan baru selesai dialisis.
Pada masa sama katanya, suspek ‘naik’ di atas badan bapanya dan tidak henti-henti menumbuk muka dan sambung memijak badan lelaki warga emas itu.
“Ayah tidak melawan kerana dia tiada daya upaya dan sewaktu dipukul ayah sedang melindungi lengan kirinya dan pinggangnya dari tercedera. Ini kerana risau ‘tapak’ dialisisnya pecah atau putus.
“Emak dan anak saudara berusia tiga tahun setengah yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat seorang suami dan atuknya dipukul,”katanya.
Mengulas lanjut Muhammad Azzali memaklumkan, selepas kedua-dua mereka selesai membut laporan polis, bapanya telah pun dibawa ke Hospital Shah Alam, namun dibenarkan pulang kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
“Badannya masih lemah dan dia mengadu masih sakit di rusuk kiri,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE