fbpx

[VIDEO] Dua beranak terselamat van dinaiki rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua beranak terselamat van dinaiki rentung, enam lagi kenderaan terbakar.

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Tindakan pantas warga emas keluar daripada van dipandu berjaya menyelamatkan nyawa dia dan anaknya dalam kejadian kebakaran membabitkan tujuh buah kenderaan di hadapan Sekolah Tinggi Perempuan Melaka, Durian Daun, di sini pagi tadi.

Lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 64, berkata, ketika itu dia sedang dalam perjalanan menghantar anak perempuannya ke sekolah pada kira-kira pukul 7.20 pagi menaiki van miliknya jenis Mitsubishi Delica.

“Ketika dalam perjalanan, enjin van tiba-tiba mati dan saya terus meminta anak perempuan berjalan kaki kerana ketika itu jarak sudah dekat dengan sekolah.

“Selepas enjin dapat dihidupkan, saya meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah di Bukit Cina sebelum tiba-tiba enjin sekali lagi mati di kawasan letak kereta di hadapan Sekolah Tinggi Perempuan Melaka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini pagi tadi.

Menurut tukang rumah itu, selepas itu dia membuka ruang enjin di bawah tempat duduk penumpang hadapan dan terkejut apabila melihat api sudah marak.

“Dalam keadaan panik saya cuba mencari alat pemadam api daripada premis berhampiran tetapi gagal dan ketika itu api semakin marak sehingga saya tidak mampu berbuat apa-apa.

“Api yang marak turut merosakkan enam buah kenderaan lagi yang diletakkan berhampiran van saya yang sudah berusia lebih 20 tahun itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, kebakaran kira-kira 7.45 pagi itu berpunca daripada sebuah van yang hangus 100 peratus.

“Kebakaran van yang hangus sepenuhnya itu kemudian merebak ke enam buah kenderaan lain iaitu dua buah Perodua Myvi, Perodua Axia, Proton Exora, Toyota Vios dan Nissan Grand Livina.

“Bagaimanapun kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dan ia berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 8.26 pagi,” katanya sambil menambah punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. -K! ONLINE

 

Keadaan sebuah van yang hangus sehingga mengakibatkan dua beranak nyaris maut dan enam lagi kenderaan terbakar di hadapan Sekolah Tinggi Perempuan Melaka, Durian Daun, di sini pagi tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI