GOMBAK – Seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala anak lelakinya ditemui tergantung di sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 10.17 pagi.
“Siasatan awal mendapati, kejadian melibatkan seorang wanita tempatan berusia 71 tahun dan anak lelakinya berusia 35 tahun.
“Siasatan dilokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah, tiada kesan umpilan atau pecah masuk dan barangan peribadi seperti wang tunai serta telefon bimbit masih berada ditempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kedua-duanya telah dihantar ke unit forensik, Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut berada dilokasi untuk membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperolehi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.