BENTONG – Selepas hampir enam bulan diuji kejadian banjir besar, kehidupan penduduk di Kampung Chegar Medang di sini masih tidak banyak berubah berikutan mereka masih menanti kediaman yang rosak dalam kejadian bencana itu dibaiki semula.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata kediaman penduduk yang terkesan dengan kejadian tersebut masih belum dibaiki.
Banyak pintu rumah yang pecah serta siling dan bumbung yang bocor tidak diganti.
Selain itu, terdapat rumah yang mengalami kerosakan pada struktur seperti dinding retak dan konkrit pecah.
Difahamkan, setakat ini, hanya 25 daripada 200 buah rumah yang rosak dalam kejadian bah teruk yang sudah siap dibaiki.
Penduduk, Khairil Amri Umar, 59, berkata, dia yang tinggal bersama isteri dan seorang anak masih menunggu pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan di rumahnya antaranya bumbung bocor, dinding retak dan sinki yang ‘runtuh’.
“Tiada kontraktor yang datang untuk melihat kerosakan. Saya terpaksa hidup di dalam rumah ini walaupun tidak selesa kerana tiada tempat lain untuk berteduh.
“Setakat ini, saya membaiki sendiri bumbung hadapan yang ‘hilang’ menggunakan wang tabung anak dengan menggunakan zink terpakai,” katanya.
Menurut penoreh getah itu, dia sangat berharap rumahnya dapat dibaiki segera memandangkan pendapatannya tidak menentu ketika ini.
Aminah Abu, 71, memberitahu, walaupun terdapat kontraktor datang melihat keadaan rumahnya pada bulan lalu, namun kerja-kerja pembaikan masih belum dijalankan setakat ini.
“Saya harap ia dapat dibaiki segera kerana mahu menyambut Aidiladha di dalam rumah ini.
“Sekarang ini kalau hujan, air akan masuk kawasan hadapan rumah yang runtuh. Tandas juga tidak berpintu, manakala siling dipenuhi lumpur,” katanya.
Jelas wanita itu, sebelum ini, terdapat kontraktor mahu menggantikan bumbung hadapan rumahnya dengan bumbung yang rosak akibat banjir, namun ketua kampung meminta ditukar dengan yang baharu.
Seorang lagi penduduk, Aini Jamin, 45, memberitahu, dia sekeluarga terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa kerana siling rumahnya runtuh, manakala pintu rumah rosak dan tidak dapat ditutup.
“Sudah dua kali saya menghantar permohonan (membaiki rumah), namun tiada jawapan,” ujatnya.
Bagi Mohamad Abhar Oshman, 65, pula, dia berasa kecewa dengan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang perlahan sehingga membebankan penduduk.
“Saya pelik kerana kontraktor memberi keutamaan membaiki rumah yang tidak berpenghuni. Ada dua buah rumah tidak berpenghuni sudah siap dibaiki,” katanya.
Disebabkan itu Mohamad Abhar terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah anaknya di Kuala Lumpur.