MADRID – Presiden La Liga, Javier Tebas menyifatkan keputusan Kylian Mbappe untuk menerima tawaran dan kekal bersama Paris Saint-Germain dengan menolak kontrak daripada Real Madrid adalah sesuatu yang memalukan dunia bola sepak.
Menurutnya, faktor wang menjadi punca bintang sensasi Perancis itu mengubah pendirian, namun mempersoalkan struktur kewangan kelab berkenaan yang mampu memberikan tawaran mega berkenaan.
“Apa yang dilakukan oleh PSG adalah menawarkan sejumlah wang yang besar untuk Mbappe. Mereka mendakwa kerugian lebih €700 juta (RM3.25 bilion) sejak beberapa musim lalu.
“Mereka juga menanggung jumlah pembayaran gaji berjumlah €600 juta (RM2.78 bilion), tetapi masih mampu dan dibenarkan untuk menawarkan kontrak lumayan buat pemain itu. Ini adalah perkara yang memalukan bola sepak,” kata Tebas.
Tambahnya, apa yang dilakukan oleh PSG dan keputusan yang dilakukan oleh presidennya, Nasser Al-Khelaifi adalah sangat berbahaya seperti juga ketika mereka terlibat merancang untuk mewujudkan Liga Super Eropah.
Kelmarin, Mbappe mengumumkan bahawa dia akan terus kekal bersama PSG untuk tempoh tiga tahun lagi selepas menandatangani kontrak lanjutan.
“Saya sangat gembira untuk kekal di Perancis, Paris adalah bandar saya,” kata Mbappe.
Difahamkan PSG menggunakan langkah terdesak dengan menawarkan pakej gaji yang sama seperti ditawarkan oleh Real dan lebih mengejutkan, kelab itu memberikan Mbappe beberapa hak istimewa yang sangat luar biasa.
Pemain berusia 23 tahun itu dikatakan boleh menentukan siapa pengurus dan pemain yang diinginkan untuk bersamanya di kelab itu selain struktur gaji yang bakal diterimanya mampu menjadikan dia pemain yang memiliki gaji paling tinggi dalam dunia. – AGENSI