fbpx

China intai peluang beli minyak Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH kapal tangki sedang memunggah minyak mentah yang diimport di pelabuhan Qingdao di wilayah Shandong pada 9 Mei lalu. – AFP

BEIJING – China dilaporkan sedang berbincang dengan Russia untuk membeli bekalan minyak tambahan dari negara itu, demikian menurut laporan saluran berita Bloomberg, memetik sumber yang mengetahui rancangan tersebut.

Menurut laman berita RT kelmarin, Beijing sedang berusaha menambah tangki simpanannya dengan mendapatkan diskaun minyak mentah dari Moscow sebelum harga meningkat semula.

Menurut sumber yang identitinya enggan didedahkan, butiran mengenai jumlah atau syarat perjanjian yang berpotensi ditandatangani itu belum lagi diputuskan dan tiada jaminan akan dicapai.

“Masih ada ruang untuk menambah bekalan dan ia akan menjadi peluang yang baik untuk mereka (China) berbuat demikian jika ia diperoleh dari segi terma komersial yang menarik,” jelas penganalisis kanan minyak di firma data dan analitik Kpler, Jane Xie.

Kpler menganggarkan simpanan keseluruhan minyak di China meningkat daripada 869 juta tong kepada 926.1 juta tong pada pertengahan Mac lalu, tetapi rekod itu masih enam peratus lebih rendah berbanding September 2020.

Pedagang-pedagang sebelum ini memberitahu Bloomberg bahawa kilang-kilang penapis minyak China telah membeli minyak mentah Rusia yang murah secara rahsia. 

Mereka berkata, penjual minyak mentah Russia telah menawarkan kelonggaran kepada pembeli-pembeli dari China untuk membayar dalam mata wang yuan.

Beberapa negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain baru-baru ini berikrar untuk melarang import minyak Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan ekonomi mereka. Kesatuan Eropah (EU) juga dilaporkan sedang berbincang mengenai langkah sedemikian.

Sementara itu, pembeli dari Asia khususnya India dan China telah merebut peluang untuk menambah rizab mereka dengan bekalan minyak Rusia yang berdiskaun tinggi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI