Beberapa pakar kesihatan meramalkan kes Covid-19 boleh mencecah hingga 20,000 sehari minggu lalu. Ramalan itu dibuat berdasarkan pergerakan besar-besaran lebih 32 juta rakyat Malaysia ketika sambutan Aidilfitri lalu.
Malah, pada sambutan hari raya kali ini, tradisi yang sudah lama tidak dilakukan seperti bersalam-salaman, bercium tangan dan berpeluk-pelukan antara ahli keluarga serta saudara mara kembali meriah.
Mana mungkin tangan dihulur maaf dipinta, tetapi dibalas dengan tangan diletakkan pada dada seperti yang dilakukan ketika negara berada dalam era pandemik Covid-19 lalu.
Pasti ada yang terasa dengan tindakan itu atau mengatakan kita takut sangat terkena Covid-19. Mahu tidak mahu, tangan dihulur, salam diterima.
Peliknya, kes Covid-19 ketika ini masih berada di bawah 3,000 kes. Berdasarkan ramalan, kes sepatutnya kini melonjak sehingga 20,000 sehari selepas rakyat beraya sakan dan bercuti panjang mulai 1 Mei hingga 8 Mei lalu.
Selepas umat Islam menyambut Ramadan lalu, kes Covid-19 juga tidak meningkat secara mendadak, sebaliknya menurun sehingga pernah di bawah 1,000 kes.
Sungguh pelik. Jika dahulu, apabila rentas negeri dibenarkan, aktiviti sosial dan ekonomi dibuka, virus Covid-19 semakin menular sehingga negara pernah beberapa kali melepasi angka 30,000 kes sehari.
Kes naik selepas bercuti tidak pelik, namun kini, perkara sebaliknya berlaku. Sama ada virus Covid-19 itu semakin lemah atau kita yang makin kuat atau ‘kebal’ dengan jangkitan selepas dicucuk vaksin.
Mungkin terdapat individu yang telah dijangkiti Covid-19 tanpa sedar kerana tiada simptom yang ketara.
Ataupun disiplin dan tahap pencegahan rakyat kini sangat tinggi selain sudah pandai hidup bersama Covid-19, menyebabkan kes tidak melonjak. Jika benar tahniah rakyat Malaysia.
Ataupun juga, mereka yang terkena Covid-19, namun tidak melaporkan status dalam aplikasi MySejahtera kerana takut ‘terkurung’ di dalam bilik. Lagipun ketika ini, masuk di mana-mana premis, imbasan MySejahtera bukan lagi diwajibkan.
Rakyat juga sudah malas untuk melakukan ujian kendiri sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali seperti dilakukan sebelum ini. Mungkin mereka beranggapan ia satu pembaziran selagi tiada simptom ketara.
Di farmasi, kedai penjagaan kesihatan dan kecantikan serta pasar mini, kit ujian kendiri Covid-19 bukan sahaja berlambak, malah kini dijual pada harga serendah RM3.99 berbanding RM4.90 hingga mencecah RM20 sebelum ini.
Ia menunjukkan rakyat sudah tidak lagi kerap melakukan ujian tersebut, sekali gus menyebabkan pengesanan jangkitan Covid-19 semakin rendah.
Covid-19 bukan lagi dianggap sebagai musuh yang digeruni, sebaliknya hanya perlu dihindari selagi boleh ketika negara sudah semakin menghampiri fasa endemik.