DUBLIN – Seorang pengendali penginapan dalam talian atau Airbnb di Dublin, Ireland menimbulkan kemarahan netizen selepas mengenakan bayaran berjumlah £60 (RM328) semalaman untuk penyewa tinggal di dalam khemah di taman belakang rumahnya, lapor akhbar The Sun, semalam.
Khemah itu dipasang di atas lantai konkrit dan bukannya rumput sehingga boleh memberikan ketidakselesaan kepada penyewa.
Tangkap layar mengenai tawaran itu tular di laman Twitter selepas ia dikongsikan oleh seorang aktivis perumahan, Ciaran yang mengendalikan akaun @crazyhouseprice.
“Saya dikirim hantaran ini dengan andaian bahawa ia palsu, namun nampaknya tidak,” demikian menurut ciapan Ciaran.
Selepas tular di media sosial, harga sewaan khemah itu turun kepada £50 (RM274) semalaman.
Pengendali yang memuat naik tawaran itu telah memadamkannya dari laman web Airbnb selepas dia dihubungi oleh pengendali kempen, Aimee. – Agensi